Bongkar rahsia dalam citadel

STANA kubu Salahuddin al-Ayyubi di kawasan pergunungan yang terletak 30 kilometer ke timur Lattakia.

KUIL Bel mempunyai elemen seni bina Greco-Rom.

DI atas hamparan tanah pasir yang menjadi landskap lazim di zon Mediterranean, pokok bebawang Urginea maritima mampu tumbuh dengan cantik. Walaupun diuji suhu dahsyat, spesies itu berbunga lebat sepanjang pertukaran musim panas ke luruh.

Ia berdiri teguh, mempesona dan kental cuaca ekstrem sejak awal kewujudannya beribu-ribu tahun lalu. Ternyata, pokok yang saya temui di sebuah tapak ekskavasi itu mencetus satu falsafah.

Pokok itu sama seperti Syria yang sehingga kini menjadi antara destinasi paling eksotik di rantau Asia Barat. Walaupun diasak arus pemodenan dan globalisasi, Syria terus kental menyimpan pelbagai khazanah sejarah dan diversiti kebudayaan unggul.

Di sebalik kedatangan gelombang trend memiliki BlackBerry, iPhone mahupun fesyen ranggi terkini, generasi mudanya tidak melupakan tradisi yang merupakan refleksi kegemilangan sosiobudaya lampau.

Sebagai contoh, kepadatan petempatan baru seperti di Damsyik dan Aleppo langsung tidak mengancam kehadiran bangunan usang yang kaya elemen seni bina Rom, Perancis, oriental dan Islam Uthmaniyah.

Imbasan suasana di khan (tempat persinggahan pedagang) juga terus hidup kalau bertandang ke lokasi bazar dan souk. Para peniaga barangan turun-temurun seperti pertukangan logam, kotak dekorasi mozek dan sutera tenun sama-sama meraih untung di sebelah lokasi gedung serbaneka mahupun kedai produk jenama komersial.

“Malaysia boleh berbangga dengan aset pelancongan alam semula jadi seperti belantara dan pulau-pulau yang indah.

“Namun, dari aspek produk pelancongan sejarah, kami ada lebih banyak untuk ditunjukkan kepada tetamu kami,” ujar pegawai pengiring dari Direktorat Kementerian Pelancongan Syria, Salma Albochi, yang bersama-sama kumpulan media Malaysia dalam kembara Festival Laluan Sutera 2010.

Undangan Kementerian Pelancongan Syria ini membawa para wartawan dari seluruh dunia melawat banyak destinasi istimewa yang berasaskan sejarah ketamadunan di bandar dan daerah pedalamannya.

Sesungguhnya, kembara dengan kenderaan pacuan empat roda ini sungguh mencabar, lantaran jarak antara setiap satu lokasi itu adalah beratus-ratus kilometer dan melintasi pelbagai bentuk fizikal geografi.

Sehebat Citadel Aleppo

Aleppo, hampir seusang Damsyik, sudah wujud sejak kira-kira 4,000 tahun lalu. Ia adalah bandar ketiga dimasyhurkan dalam era Uthmaniyah selepas Constantinople dan Kaherah di Mesir.

Dalam radius wilayahnya, kami sempat ke tapak arkeologi Brad, iaitu tempat kuburan paderi kelana, St. Maron, yang memencilkan diri demi mendalami ajaran Kristian seawal tahun 405 selepas Masihi.

Kami juga dibawa ke kawasan agrikultur di sebelah barat daya untuk melawat Kuil Ain Dara yang dikatakan telah wujud sejak tahun ke-10 sebelum Masihi dalam Zaman Logam Syro-Hittite.

“Namun, lokasi tumpuan ramai pastinya di Qal’ah Halab atau Citadel Aleppo yang tersergam megah di atas bukit di tengah-tengah bandarnya,” jelas Salma yang memberitahu bahawa citadel berfungsi sebagai pusat pentadbiran, istana, benteng atau kubu, bergantung pada keperluan dan strategi politik.

Struktur kompleks yang mencedok inspirasi jaringan labah-labah itu mempunyai banyak laluan bertangga curam, lorong rahsia dan juga rangkaian terowong misteri.

Bagaikan salur darah dalam tubuh manusia, ia menyambungkan komponen utama seperti masjid, bilik rehat, hamam, madrasah, taman, dewan terbuka, pelantar tinjau dan pejabat tadbir di puncaknya.

“Letih juga hendak meneroka isi perut tempat ini,” detik hati saya yang kemudiannya terpukau dek sayup azan lunak. Rupa-rupanya, itu adalah demonstrasi azan oleh si penjaga citadel.

Betapa hebatnya binaan citadel seluas tapak stadium Olimpik itu, hinggakan sesiapa yang melaung azan di satu sudut musolla, tanpa perlu memekik kuat atau menggunakan pembesar suara, mampu menggemakannya ke serata penjuru kompleks!

“Orang Eropah gemar pada tempat yang tinggi nilai sejarah seperti ini. Apatah lagi ia diisytihar Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1986.

“Benteng besar ini membawa pemahaman kita kembali ke gerbang milenium ketiga sebelum Masihi dan ia telah menjadi saksi peralihan peradaban dari zaman Yunani, Bizantine, Ayyubi hingga ke Mamluk,” kata Andre Bastien, 42, seorang ejen kembara dari Perancis yang sering membawa rombongan pelancong dari negaranya ke Syria.

Kubu gunung di Lattakia

Rasa kagum pada binaan Citadel Aleppo yang saya sangkakan tiada tandingan, rupa-rupanya silap. Ada lagi tinggalan dunia lampau menanti ketika haluan kembara ini beralih ke Lattakia.

Lawatan pertama di situ adalah ke tanah datar di tapak sejarah Ugarit, iaitu tempat penemuan tablet abjad pertama di dunia, sebelum perjalanan diteruskan ke kawasan pergunungan yang dipenuhi landskap hutan hijau.

 

 

Pening-pening lalat akibat perjalanan yang bersimpang siur segera terubat tatkala terpandang sebuah citadel yang spektakular di puncak paling strategik.

Sekian lama membaca sastera epik mengenainya semasa zaman persekolahan, akhirnya saya dapat juga menjejak kaki ke istana kubu Salahuddin al-Ayyubi. Sepantas itu juga saya meresapi misteri binaan kubu hebat tersebut.

Bermula dengan menjenguk ke setiap ruang bawah tanah, kemudian menyusuri anak tangga yang bercabang menjadi lorong-lorong mengelirukan, hinggalah kepada insiden saya melangkah laju hingga nyaris tergolek dan jatuh di sebuah tebing curam!

Semua itu benar-benar telah ‘menghidupkan’ saya kembali dalam debaran siri Perang Salib yang menyaksikan keperwiraan dan ketangkasan satria Islam itu.

“Di tengah-tengah istana kubu ini terdapat tinggalan binaan tentera salib seperti tangki simpanan air, dewan makan dan gereja.

“Selepas ia dikuasai Salahuddin pada tahun 1188, dunia Islam Arab menghadiahkan kubu ini dengan ruang masjid, tempat bersemayam dan halaman istana,” kata pengarah citadel tersebut, Abdullah Zakaria.

Saat saya duduk melayan desir angin di atas sebuah pelantar menara sambil menunggu detik matahari terbenam, ternyata istilah teruja atau kagum adalah suatu yang understatement.

Tunggang unta Palmyra

Sehabis kudrat agaknya penganjur festival ini mahu memerah minda para wartawan untuk mengenali Syria. Ya, agenda hari keenam telah ‘mengheret’ kami ke Palmyra, padang pasir yang tandus.

Mujur saya membawa keifieh untuk berlindung dari terik matahari sejurus keluar dari kenderaan. Banyak betul jasa kain itu terutamanya ketika saya berkunjung ke Citadel Palmyra, ke khemah Badwi dan juga ke lokasi eksentrik yang dinamakan sebagai Lembah Makam Bawah Tanah.

Buat kali pertama di Syria, sebagai kelainan, kami diberi peluang menunggang unta untuk masuk ke kawasan sejarah seperti Kuil Bel, Agora dan Altturabil.

Apabila derap longlai unta saya melewati bekas runtuhan bangunan dan deretan tiang decumanus seperti di Rom membuatkan pengalaman itu terasa ‘mahal’.

Macam Indiana Jones atau Lawrence of Arabia? Saya tersenyum sendiri. Dapat juga saya melupakan rasa lenguh di punggung gara-gara terlambung berulang kali sejauh 500 meter di atas ‘kawan’ baru saya yang berbonggol itu!

Palmyra menjual tarikannya berdasarkan kisah pemerintahan Ratu Zenobia yang dikatakan cantik, berkarisma, bijak dan setanding pahlawan perkasa.

Bercerita tentang wanita srikandi itu mengimbas Palmyra dalam pertembungan kuasa Rom dan Parsi, kemakmuran dan kemusnahan, serta cinta dan peperangan.

Apabila malam menjelma, perasaan saya larut dalam persembahan muzikal Zenobia yang dilangsungkan di amfiteater di tengah-tengah padang pasir itu.

Kalaulah ketika itu ada akses wifi, pasti keluarga dan teman-teman di Malaysia sudah menerima mesej ini: ‘Kalian pasti sesekali mahukan percutian yang merentas dimensi, peradaban dan waktu. Syria adalah destinasinya.”

sumber: Kosmo

 

 

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: