WANITA JEPUN PELUK ISLAM

Wanita jepun peluk islam

Japan.jpg

KEMODENAN dan kecanggihan teknologi sebenarnya tidak menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripada kehidupan serba moden ialah nikmat dunia.

Pun begitu, kebahagiaan kebendaan ini, kata Monica dan Sunaku, wanita yang berasal dari Jepun tidak menjanjikan ketenangan jiwa atau kebahagiaan rohani yang didambakan selama ini. Ikuti kisah pengislam mereka berdua di bawah ini.

Kisah 1

Dibesarkan pada era teknologi moden yang sedang berkembang pesat di Jepun, Monica turut dikira sebagai seorang yang amat bertuah kerana dikurniakan kehidupan yang boleh dikategorikan selesa serta memiliki ahli keluarga yang begitu mengambil berat dan penuh kasih sayang.

Apa tidaknya, setiap yang diingini sama ada untuk pelajaran dan kerjaya tidak pernah tidak dipenuhi.

Majoriti penduduk Jepun adalah beragama Buddha, begitu juga dengan ahli keluarga Monica. Namun, sejak kecil, ibu bapanya langsung tidak mengambil pusing soal kepercayaannya sebagai penganut Buddha.

Pada peringkat awal dulu dia kerap memikirkan perkara-perkara seperti kejadian alam, tujuan manusia diciptakan dan kitaran kehidupan. Pertanyaan demi pertanyaan itu bermain di mindanya sehinggalah usia Monica mencecah 20 tahun dan sebaik menamatkan pengajian di peringkat kolej.

Pekerjaan pertama yang diceburi Monica ialah menyertai syarikat penerbangan Jepun sebagai pramugari. Selain menjadikan ia sebagai satu kerjaya, Monica berharap dia akan menemui ketenangan di situ.

Sayangnya, bukan itu yang ditemui malah hidupnya terus menerus dibelenggu rasa kekosongan yang teramat sangat. Jiwanya memberontak kerana apa yang dihajati selama ini belum kunjung tiba.

Ditakdirkan Allah SWT pada 1988, dia menjadi penterjemah kepada delegasi agensi pelancongan dari Jepun di Mesir selama setahun. Sepanjang berada di perantauan itu, menerusi teman-teman sekerja, Monica diperkenalkan dengan agama Islam.

Selepas menamatkan perkhidmatan di Mesir, Monica kembali ke Jepun dan mengambil keputusan mendalami agama Islam dengan harapan persoalan yang selama ini menyelubungi hidupnya akan terjawab.

Monica sekali lagi hampir dikecewakan kerana kebanyakan maklumat yang dikumpul menerusi media massa, bukan sahaja terbatas tetapi telah diputarbelitkan.

Sama jugalah seperti yang disogokkan oleh media-media tempatan dan antarabangsa, sehingga Islam dilabel sebagai agama yang bertunjang keganasan dan ketidakadilan.

Demi mencari kepastian, Monica terus ke Pusat Islam Jepun dan mendapatkan al-Quran terjemahan di situ. Hampir tiga tahun Monica berulang alik ke pusat itu.

Lama kelamaan, dengan kehendak-Nya, Monica semakin memahami dan menghargai agama Islam dan ia berkembang segar dari sehari ke sehari.

Berkat kesabaran dan usaha istiqamah itu, akhirnya terjawab semua kekusutan yang berselirat di fikirannya.

Kalau sebelum ini, dia difahamkan bahawa Islam menindas golongan wanita terutamanya dalam soal poligami. Namun, sebaik mendalami Islam yang syumul barulah diyakini sepenu hati bahawa Islam amat mengambil berat dan menghormati kaum wanita sehinggakan hak-hak mereka tidak pernah dipinggirkan.

Katanya, dia mula mengasingkan diri dan memperbanyakkan berdoa semoga Allah SWT memberi petunjuk ke jalan yang benar, jalan yang diredai dan agar dimudahkan pemahaman kepada Islam.

“Saya juga melakukan meditasi. Saya yakin Allah mempunyai dua buku iaitu buku yang mampu berkata-kata iaitu kitab suci al-Quran dan buku tanpa suara iaitu kejadian alam semesta dan segala bentuk keajaiban di muka bumi ini,” jelasnya.

“Saya merasai cahaya Ilahi menyerap masuk ke seluruh pembuluh darah dan mengalir ke seluruh tubuh ini.

“Cahaya keimanan yang menyerap dalam diri bagai memberi satu kegembiraan, sekali gus merasakan kehadiran Allah dalam setiap saat,” terang Monica penuh kesyukuran.

Malah, Monica ditakdirkan meneruskan kerjaya pramugari dengan penerbangan ke Indonesia selama setahun. Pada ketika itulah, teman-teman dari Indonesia banyak membantunya lebih memahami agama Islam, seterusnya meningkatkan tahap kecintaan Monica kepada agama Allah itu.

Lumrah bergelar mualaf, Monica tidak terkecuali daripada pelbagai dugaan terutamanya daripada keluarga kandung. Namun, ia tidak sedikitpun melemahkan keyakinan bergelar muslimah sejati.

“Saya mula mendirikan solat lima waktu mengikut tertib dan praktikalnya. Selain itu, saya berusaha menguasai bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat suci al-Quran, meskipun ia cuma ayat-ayat lazim.

“Pada 1992, saya ke Mesir dan mengucap syahadah di Universiti Al-Azhar. Kemudian saya mengambil keputusan bekerja di negara Tanah Arab itu.

“Rupa-rupanya jodoh saya juga telah ditentukan Allah dengan lelaki Islam Mesir. Saya terus menetap di sana dan perkahwinan kami diserikan dengan kehadiran anak perempuan bernama Maryam.

“Alhamdulillah, kini saya hidup bahagian dengan agama Islam dan keluarga baru. Saya banyak menghabiskan masa belajar mengaji al-Quran dan apabila ada masa terluang, saya dan suami akan belajar bersama dan membaca bahan-bahan Islamik,” akui Monica yang berdoa semoga keluarga kandungnya yang masih menetap di Jepun turut menerima nur Islam. Insya-Allah.

Kisah 2

Sunaku hidup serba sederhana malah tidak ada kurangnya daripada segi kebahagiaan dan keselamatan, meskipun dibesarkan oleh ibunya seorang balu.

Sungguhpun begitu, sejak kecil lagi Sunaku tidak pernah merasai erti kegembiraan yang sebenar malah dia selalu dalam situasi tidak tenteram.

Untuk menghilangkan perasaan tersebut, dia selalu sibukkan diri dengan mentelaah pelajaran dan melancong ke luar negara.

“Namun, kerisauan dan kebimbangan yang dialami tidak juga hilang malah bertambah menjadi-jadi. Sehinggalah tamat pengajian peringkat menengah dan menyambung pengajian bahasa Inggeris di England.

“Saya masih ingat semasa cuti pengajian, saya dan seorang teman dari Jepun pergi ke Jordan. Memandangkan teman saya itu pernah ke Jordan sebelum ini, jadi dia telah uruskan penginapan kami dengan satu keluarga di sana yang beragama Islam.

“Saya dapati kehidupan keluarga tersebut begitu praktikal dan teratur. Selain itu, rumah mereka juga sungguh bersih dan kemas. Seperkara yang paling saya tertarik ialah melihat keakraban hubungan mereka sekeluarga, tidak kiralah dalam urusan rumah tangga mahupun kepada orang luar,” kata Sunaku.

Barulah Sunaka ketahui suami adalah ketua keluarga yang mencarikan nafkah untuk mereka anak beranak. Sementara, isteri biarpun duduk di rumah sepenuh masa tetapi mereka bertanggungjawab menguruskan rumah tangga. Yang cantiknya semua tanggungjawab itu dipikul dengan penuh keikhlasan dan reda.

Dia sedar inilah kebahagiaan yang selama ini dia dambakan. Malah Islam yang selama ini difahami sebenarnya bukanlah gambaran yang sebenar tetapi tohmahan segelintir yang berniat jahat.

“Saya sendiri tidak memahami realiti kehidupan seorang Muslim. Ini kerana dia tidak pernah mengenali umat Islam. Apa yang dilabelkan oleh media massa Barat tentang keburukan Islam, itulah yang saya ambil bulat-bulat. Tambah buruk, apabila saya menilai wanita Islam menjadi mangsa terutamanya dalam hal berpoligami.

“Rentetan perjalanan ke Jordan itu, saya mengambil keputusan mempelajari agama Islam agar mesejnya lebih jelas. Sekembalinya ke Jepun, saya ke Pusat Islam Tokyo dan meminta senaskah terjemahan al-Quran dan buku riwayat hidup baginda Rasulullah SAW.

“Sejak itu, saya lebih kerap ke pusat tersebut dan mempelajari daripada ustaz-ustaz yang berasal dari Pakistan, Arab dan tidak terkecuali warga Jepun sendiri,” kata Sunaku yang memeluk Islam enam bulan kemudian.

Sumber: http://www.intro2u.net

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: